Al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Mohamed Saaid Bin Ishak.
Sudah 4 tahun permergian arwah ayahanda tersayang. Anakanda sangat merindui mu ayahanda. Setiap saat dan minit ingatan anakanda pada ayahanda tidak pernah luput dari ingatan. Setiap kali solat anakanda tidak pernah lupa untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada ayahanda. Tidak dilupakan setiap malam Jumaat bacaan Surah Yaasin anakanda hadiahkan untuk ayahanda. Iringan doa dari anakanda semoga Allah mengampunkan dosa ayahanda, cucuri rahmat ke atas roh ayahanda, memasukkan ayahanda di dalam golongan orang-orang beriman dan ahli syurga Firdausi. Ameen.
Masih kuingat tarikh 17hb Mei 2005 yang lepas...tepat jam 1 pagi pemergiaan arwah papa tersayang. Di kala itu kami sekeluarga dan saudara-mara berada di HUKM mengelilingi arwah di saat-saat hembusan nafas terakhirnya.
Semuanya bermula ketika....
aku dan mamaku sedang menunaikan umrah di tanah suci Mekah. Pada mulanya arwah sepatutnya mengiringi kami bersama2 untuk menunaikan umrah. Akan tetapi di saat akhir arwah mengubah fikirannya. Pertemuan terakhir aku dan mamaku bersama arwah ketika kami berada di KLIA semasa arwah menghantar kami. Di ketika itu arwah nampak senyap dan tidak banyak berbicara. Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir kami. Rupa-rupanya itulah petanda arwah akan meninggalkan kami sekeluarga 2 minggu dari tarikh itu.
Selama kami berada di tanah suci, kami sempat berbual dengan arwah beberapa kali melalui telefon. Setelah seminggu lebih kami di tanah suci, kami diberitahu bahawa arwah tidak sihat. Arwah demam rindu dengan kami. Semasa berbual di telefon kedengaran suaranya agak lemah kerana demam panas. So, pada perkiraan kami demam biasa aje. Mungkin esok lusa akan sembuh.
Tetapi, selang 2 hari kemudian, kami diberitahu oleh ustaz ketua rombongan yang memimpin kami di tanah suci bahawa arwah papaku sedang sakit berada di hospital. Aku bingung di ketika itu. Arwah sakit apa yea? Takkan demam teruk kot? Oh.... tiba-tiba air mataku mengalir dengan begitu deras sekali. Kenapa ia berlaku ketika kami jauh berada di tanah suci? Di kotak fikiranku memikirkan bagaimanakah keadaannya ketika aku dan mamaku tiada di sampingnya. Ya, aku tahu aku ada 3 orang adik lelaki di sampingnya tetapi 2 wanita penting di dalam hidupnya tidak ada disisinya ketika itu. Di ketika itu juga lagi 2 hari kami dijangka berangkat pulang ke tanahair.
Aku terus menelefon arwah dan kami dapat berbicara dengan arwah yang ketika itu berada di hospital. Melalui telefon arwah berbicara dengan begitu lemah sekali kerana arwah bernafas dengan bantuan alat oksigen. Kami diberitahu bahawa arwah menghidap jangkitan paru-paru atau pneumonia yang agak teruk. Selepas itu aku dan mamaku terus ke masjidilharam untuk melakukan sunat tawaf dan sembahyang hajat di pintu multazam khas untuk arwah papaku. Aku berdoa agar papaku cepat sembuh dari penyakitnya dan yang paling penting jika ditakdirkan Allah mengambil nyawanya biarlah tunggu sehingga aku dan mamaku dapat berjumpanya di tanahair. Tidak dapat kubayangkan jika aku sampai di tanahair papaku telah tiada lagi. Ya Allah, kau makbulkan lah doa hambaMu ini.
Sehari sebelum berangkat pulang ke tanahair, aku menelefon sekali lagi. Aku telah diberitahu bahawa papaku telah dimasukkan ke ICU kerana conditionnya yang agak tenat sekali. Arwah sukar untuk bernafas menggunakan alat bantuan oksigen yang diberi oleh doktor. Arwah papa telah ditidurkan dengan bantuan mesin dan segera dimasukkan ke ICU.
Saat meninggalkan tanah suci, aku begitu lemah sekali. Aku sedih meninggalkan tanah suci dan di ketika itu juga aku sedih memikirkan keadaan papaku di tanahair. Di dalam penerbangan, fikiranku agak bercelaru dan bingung. Aku asyik menangis dan sedih yang amat dan sentiasa berdoa agar dapat berjumpa dengan arwah papaku. Mamaku agak tenang berbanding dengan keadaanku di ketika itu. 9 jam berada di dalam penerbangan apa saja boleh berlaku.
Apabila tiba dia KLIA, adikku Idham telah menanti kami dan mengajak kami terus ke hospital. Bersyukur padamu Ya Allah, aku dapat berjumpa papaku. Ketika di hospital, saudara-mara telah memenuhi ruang menunggu bilik ICU. Semuanya menangis teresak-esak apabila nampak aku dan mamaku menuju ke arah mereka. Aku macam nak pengsan di ketika itu. Terus mereka bawa kami ke bilik ICU. Kelihatan arwah tenang di atas katil. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku di ketika itu. Arwah dalam keadaan koma dengan bantuan mesin. Kami tidak dapat berbicara dengannya. Aku berbisik di telinga arwah bahawa aku dan mama berada di sisinya di ketika ini. Aku dapat melihat bacaan graf di mesin bantuan itu bergerak turun naik dengan begitu pantas sekali. Itu menandakan arwah tahu dengan kehadiran kami dan bacaan itu menunjukkan seperti arwah meronta-ronta ingin berbicara dengan kami. Akan tetapi kami tidak dapat berbicara.
Esok nya selang sehari selepas kami pulang ke tanahair pada tanggal 17hb Mei 2005, arwah papaku telah pergi menghembuskan nafas terakhirnya. Kami sekeluarga dan saudara-mara sempat mengadap arwah di saat arwah nazak. 2 jam sebelum itu doktor telah memanggil kami semua untuk mengadap arwah. Aku dan adik-adikku tidak putus membacakan Surah Yaasin disisi arwah dan melafazkan Lailahaillallah di telinga arwah sehingalah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat jam 1 pagi. Begitu tenang sekali.
Jenazah arwah telah dibawa ke rumah. Rumah kami penuh dengan sanak-saudara dan sahabat handai yang mengenali arwah semasa hidupnya. Arwah seorang yang sangat mesra da peramah dengan sesiapa sahaja. Seorang yang sangat mengambil berat tentang hubungan kekeluargaan sesama kami. Arwah sanggup menziarah dan mencari saudara-mara di seluruh pelusuk negara semata-mata untuk mengeratkan lagi silaturrahim yang telah terjalin. Semua saudara-mara kami sangat sayangkan arwah. Boleh dikatakan semua yang berada di luar KL hadir ke rumah kami menziarahi jenazah arwah. Aku sungguh terharu dengan kehadiran semua saudara-maraku dan sahabat handai arwah di serata negeri. Pemergian arwah ditangisi oleh semua orang. Semua orang sayangkan arwah.
Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Cheras dan bersebelahan dengan kubur arwah nenekku belah mamaku yang juga meninggal selang 43 hari sebelum arwah papaku meninggal dunia. Semuanya telah tertulis. Al-Fatihah.
semasa hayatnya ketika majlis konvo adikku izam...
semoga rohnya dicucuri rahmat...amin!
ReplyDeleteorang rawa - thanks bro, Insya Allah Ameen.
ReplyDelete